Monday, December 21, 2009

Pengalaman Pahit Menggunakan Komuter Laluan Mid Valley -Nilai

Pada Petang Hari Sabtu 19hb Dec 2009 lepas, Jurutera Pencen (JP) sekeluarga telah ke Mid Valley untuk bertemu kawan lama dari Kota Bharu yang menginap di sebuah hotel bersebelahan pusat membelibelah tersebut.
Memandangkan isteri dan anak2 menpunyai urusan sendiri petang itu, setelah menghantar JP ke Mid Valley, JP telah meminta mereka memandu kereta pulang dan JP sendiri akan pulang ke Nilai menggunakan Komuter. Lagipun sudah lama JP tidak menggunakan pengangkutan awam tersebut.

Lebih kurang Jam 6 petang JP ke Hentian Komuter Mid Valley untuk pulang ke Nilai dan bermula disinilah berbagai pengalaman yang tidak selesa, sedih dan marah JP alami sebagai pengguna komuter bagi Laluan KL-Seremban.

Semasa menunggu ketibaan tren, JP dapati ramai sekali penumpang lain sedang menunggu tren ke laluan yang sama. Tren pertama datang, mereka berebut2 untuk naik walaupun masih ada lagi penumpang yang hendak turun. Sebagai seorang warga pencen JP tidak sanggup berebut untuk naik dan memutuskan untuk menunggu tren kedua dengan harapan selepas itu tidak ramai lagi penumpang berebut2.Andaian JP nampaknya meleset, setelah menunggu hampir 15 minit, bilangan penumpang baru yang datang menunggu telah kembali banyak malah lebih ramai dari sebelumnya. Sebaik sahaja tren ke-2 tiba, penumpang berebut2 lagi untuk naik, tapi kali ini tidak ramai yang turun. JP juga mencuri peluang berebut untuk naik dalam keadaan terpaksa memandangkan waktu sudah lewat petang dan sudahpun menunggu di situ hampir 30 minit.

Dalam tren JP terpaksa berdiri kerana tempat duduk sudah dipenuhi olih penumpang yang naik dari stesen terdahulu sebelum Mid Valley. Kebanyakan penumpang adalah Pendatang Asing berbagai warna dari pelbagai Negara. JP percaya mereka adalah perkerja dan pelajar. JP tidak menpersoalkan mereka yang duduk di tempat penumpang biasa kerana mereka membayar tambang yang serupa seperti kita juga. Apa yang JP terkilan, mereka dengan selamba turut memenuhi tempat duduk yang dikhaskan untuk OKU dan wargatua malah mereka yang berdiri agak kurang sopan,kasar dan bercakap kuat sesama sendiri, dengan bau badan yang menyeksakan orang lain.
Ketika tren yang JP naiki tiba di Stesen Tasik Selatan, ramai penumpang turun, JP bernasib baik kerana dapat tempat duduk setelah penumpang yang duduk di kerusi berhampiran tempat JP berdiri turun di stesen itu. Begitulah juga bila sampai di Hentian Serdang, ramai sekali penumpang yang turun dan tidak ramai penumpag yang naik.

Pengalaman pahit JP seterusnya bila tren tiba di Stesen Kajang. Sebaik tiba di stesen ini lebih kurang jam 7 ptg, pihak komuter mengumumkan yang perjalanan tren yang JP naiki itu akan tamat di stesen itu sahaja dan tren akan berpatah balik ke KL semula. Pihak komuter mengarahkan semua penumpang yang menghala ke Seremban turun dan menukar tren terkemudian yang akan tiba selepas itu. setelah menunggu di Stesen Kajang itu hampir 15 minit tren kedua dari KL tiba dan kali ini juga tren yang tiba setelah menurunkan penumpang berpatak balik ke KL, tidak meneruskan perjalanannya ke Seremban. Apakah alasan dan sebabnya tidak pula diberitahu.

Lebih kurang 45 minit kemudian, setelah diarah turun dan menukar tren barulah tiba tren yang dapat meneruskan perjalanan ke Hentian Nilai iaitu stesen distinasi JP. JP tiba di Hentian KTM Nilai, Jam 8.10 malam setelah lebih 2 jam dari waktu membeli tiket dan menunggu di Hentian Mid Valley. JP difahamkan perjalanan biasa Mid Valley-Nilai sepatutnya hanya mengambil masa 50 minit sahaja.

Pertanyaan bemain dalam kepala JP adakah perkara ini biasa berlaku dan di sengajakan olih pihak KTM untuk menampung kekurangan tren bagi mengangkut keluar penumpang yang agak ramai yang menunggu di Stesen2 Utama di pusat bandar KL ke Hentian di pinggiran?. JP yang hanya setahun sekali menggunakan komuter pun dapat merasai pengalaman seperti ini apatah lagi bagi penumpang-penumpang regular.

Tidak bolihkah pihak Komuter mengumumkan dan memberitahu kepada penumpang ke destinasi akhir laluan yang naik di hentian2 sebelum dari hentian yang pihak komuter bercadang hendak berhenti/tamat dan berpatah balik demi mengelakkan penumpang jauh tersesak2 dan membuang masa di stesen tempat mereka dipaksa turun?.Beritahulah lebih awal kepada penumpang yang tren akan berpatah balik/tamat bila tiba di stesen tertentu di separuh perjalanan sahaja tanpa meneruskan ke stesen terakhir laluan sebenar.

Pihak pengurusan KTM dan Kementerian Pengangkutan seharusnya mengkaji semula bagaimana caranya untuk menangani masalah kekurangan Tren Komuter di waktu puncak Jangan biarkan pengguna jarak jauh menjadi mangsa gara-gara tren berpatah balik di pertengahan jalan tanpa di maklumkan terlebih dahulu kepada penumpang. Jangan selesaikan masalah secara adhoc dengan hanya menyembunyi di bawah tikar yang nipis.

Rakyat sedang menunggu apakah keputusan KPI yang diberikan olih YAB DS Najib kepada Kementerian Pengangkutan dan menterinya. Adakah keputusan prestasi KPI Menteri pengangkutan sama seperti yang diberikan olih ahli MCA kepadanya sebagai presiden MCA.

Apapun 1Malaysia sedang menunggu tranformasi sistem Pengangkutan Awam di Lembah Kelang secara fisikal berubah kearah yang lebih cekap bukan hanya berligar merancang di bilik mesyuarat sahaja. Tak guna merancang dan mengumumkan belanjawan berbilion-bilion sedangkan keadaan harian tidak berubah malah bertambah teruk.

Wednesday, December 16, 2009

Selain Dari YAB Perdana Menteri, Rakyat Juga Sedang Memerhati Untuk MengKPIkan Wakil Rakyat Mereka.

Pada 13hb Desember 2009, YAB Perdana Menteri DS Najib telah mengumumkan yang beliau berpuashati dengan Pencapaian Keseluruhan Enam Bidang Keberhasilan Utama Negara(NKRA). Semalam 14hb Desember kita telah dikejutkan dengan berita dari Parlimen yang memaklumkan Bajet Tahun 2010 telah diluluskan dengan undian 66 ahli menyokong(termasuk undi dari YAB DS Najib)dan 63 ahli menolaknya.Ini bermakna kehadiran ahli parlimen pada waktu pengundian semalam hanya 129 orang sahaja dari keseluruhan 222 ahli yang ada.Kenapa jadi begitu?.Kemana perginya 93 orang MP yang lain terutama 70 ahli MP dari BN?.
DS Najib yang terpaksa hadir keParlimen untuk turut mengundi akan mendapat malu besar jika semalam 3 orang lagi ahli MP pakatan hadir dan mengundi untuk menolak Bajet 2010 itu.

Sudah tiba masanya semua Wakil Rakyat, MP dan DUN menilai semula keutamaan tugas2 mereka.Anggaplah kehadiran bersidang di Parlimen dan DUN sebagai keutamaan dan menghadiri musyuarat PIBG,majlis sosial,kenduri kendara dan melawat kawasan hanya bila tidak ada persidangan di Parlimen atau DUN.

Juga sudah tiba masanya YAB DS Najib membuat sesuatu kepada mana-mana MP dari BN yang liat untuk hadir bersidang termasuk yang memegang jawatan dalam kabinet atau DUN jika BN masih mahu menjadi kerajaan sebelum rakyat mengKPIkan prestasi mereka. Ahli MP dari BN mungkin sudah lupa yang kini BN tidak lagi menguasai 2/3 Parlimen.
Keluarlah dari Zoom selesa YB semua dan bangunlah dari tidur segera sebelum YB semua di kejutkan dengan perkara yang lebih memalukan lagi selepas ini.

Tuesday, September 1, 2009

Petrol RON 95--Menteri Mudah Lupa

Dua bulan lepas semasa pelancaran Jualan Runcit Petrol RON 95 di sebuah Stesen Petronas di Putrajaya, YB Menteri telah dengan bangganya mengumumkan yang Petrol Jenis terbaru RON 95 dijual dengan harga RM1.75/liter iaitu murah sebanyak RM0.05 sen/liter dari harga runcit semasa RON97 dan akan dijual keseluruh negara dengan harga yang sama bermula 1 September 2009. Manakala Petrol RON 97 akan dikurangkan jualan/pengeluaranya secara berperingkat2 di pasaran.

Semalam 31/08/09, sempurna dengan hari ulang tahun Kemerdekaan Negara dan di musim perayaan ini, kerajaan "1Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencampaian Diutamakan" betul2 telah mendahulukan rakyat dengan menghadiahkan kenaikkan harga runcit petrol bagi RON97 dari (RM1.80 kepada RM2.05) dan RON95 dari (RM1.75 kepada RM1.80) manakala Petrol RON92 tidak akan dikeluarkan lagi.

YB Menteri agaknya telah lupa apa yang telah diucapkan semasa pelancaran RON95 di Putrajaya tempoh hari.Kali ini alasan yang diberikan olih kerajaan kerana harga minyak mentah semasa di pasaran dunia telah meningkat kepada US$82.00/tong(betul ke ni?) dan kerajaan terpaksa memberi subsidi sebanyak RM0.3381 sen/liter bagi RON95 (RM340juta/sebulan) dengan harga jualan runcit yang diumumkan itu.

Jurutera Pencen (JP) ingin bertanya YB Menteri adakah kerajaan akan menurunkan harga runcit sekiranya harga Minyak Mentah dipasaran dunia kembali turun kepada harga sekitar US$70.00/tong seperti sebelum ini?.

Bukankah kerajaan hari ini Kerajaan yang mendahulukan Rakyat?. Kalau betul seperti yang diCOGANkan itu,janganlah pula jadi Kerajaan yang dikatakan "Kerajaan Cakap Tak Serupa Bikin" di mana Kepentigan Politik Diutamakan, Rakyat Apa Aku Kisah?.

Rakyat hari ini sudah ramai yang pandai membaca,bijak memerhati dan memilih malah berkebolihan dalam menganalisa tindak tanduk kerajaan samada dalam politik, sosial maupun ekonomi.Maka Kerajaan juga kenalah berhati-hati,pandai merancang dan bertindak dalam segala perkara yang membabitkan Kepentingan Rakyat Umum.

Friday, August 28, 2009

Apakah Muslihat DS Najib Melantik Menteri Penuh Untuk Membantu Seorang Menteri Penuh Yang Lain?

Kita dikejutkan dengan berita pengumuman Perdana Menteri telah melantik Dt Seri Idris Jala sebagai Menteri Penuh di JPM. Di antara tugas DT Seri Idris adalah membantu Tan seri Dr Koh dalam pengawasan KPI dan lain-lain perkara yang berkaitan dengannya.
Walaupun perlantikkan menteri adalah hak mutlak Perdana Menteri, sebagai rakyat kita juga menpunyai hak bertanya apakah perlu dua orang menteri penuh untuk membuat kerja yang sama?. Apakah perlu seorang menteri penuh membantu dan melapor kepada seorang menteri penuh yang lain?.

Kalau DT Seri Najib masih was-was dengan kebolihan Dt Seri Idris Jala di peringkat awal ini, kenapa tidak melantik beliu sebagai Timbalan Menteri dahulu?. Adakah Dt Idris tidak mahu jawatan Timbalan Menteri!!. Kalau dah begitu yakin dengan kebolihan Dt Idris Jala kenapa tidak ditukarkan sahaja Tan seri Dr Koh ke kementerian yang lain atau dengan tugas2 lain. Perbelanjaan dan kos untuk menanggung dua orang Menteri penuh bagi menjalankan fungsi tugas yang sama bukanlah sedikit. Itu belum lagi diambil kira kos tambahan bagi gaji pegawai2 dan pelbagai Jawatan Setiausaha serta kakitangan pembantu dan pengurusan serta perbelanjaan overhead yang lain yang memang layak berikan kepada seorang menteri. Inikah yang dikatakan perubahan dan kerajaan berhemah bagi 1Malaysia?
Tepuk Dada Tanya Selira

Thursday, July 9, 2009

Pengajaran Sains Dan Matematik kembali semula Dalam Bahasa Melayu.

Kerajaan baru saja mengumumkan yang Pengajaran Pelajaran Matematik dan Sains akan kembali menggunakan Bahasa Melayu secara berperingkat bermula tahun 2012. Pengistiharan ini telah menimbulkan berbagai polimek dan perbahasan dikalangan orang ramai dari pelbagai peringkat dan status kedudukan, baik dari rakyat biasa maupun dikalangan pembesar, berpelajaran ataupun tidak.
Penulis tidak mahu menyentuh tentang apa agenda sebenar yang berselindung disebalik keputusan yang telah dibuat itu. Samada ianya untuk kepentingan politik atau memang bagi memperkemaskan kedudukan dan penggunaan Bahasa Melayu.Apa yang penulis nak berkongsi pengalaman di sini ialah apakah benar Pengajaran Matapelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu dapat meningkatkan kemajuan Pelajar khasnya pelajar-pelajar peribumi di luar bandar.
pengalaman Penulis sebagai Pelajar kumpulan awal di akhir tahun 1960han mengambil SPM Sains Tulin (FIZIK, KIMIA dan Kajihayat) yang diajar dalam Bahasa Melayu bagi ketiga-tiga subjects amat memeritkan. Untuk lulus cemerlang bagi SPM ketika itu sangatlah susah tambahan pula guru-guru yang mengajar datang dari Indonesia dan soalannya pula disediakan oleh Pihak Cambridge Examination Boards dalam duibahasa.Di peringkat STP pula ramai antara kami yang kandas dari yang berjaya.
Kepayahan kami berterusan, apabila di peringkat awal kami memasuki Kolej dan Universiti terutama dalam bidang iktisas di mana rata rata kami tidak dapat menyesuaikan diri untuk memahami syarahan pembelajaran yang menggunakan Bahasa Inggeris baik di Universiti tempatan maupun yang belajar diluar negara. (kecuali UKM!!). Tidak hairanlah ketika di tahun pertama kebanyakan kami cuma sekadar lulus sahaja tetapi kemudian kami menjadi pelajar cemerlang di tahun-tahun seterusnya apabila kami dapat menyesuaikan diri dan menguasai bahasa Inggeris. Malah diperingkat Ijazah Lanjutan ada dikalangan kami yang mendapat PHD dari universiti-universiti terkemuka di US dan UK
Kini ramai diantara kami dari kumpulan awal Pelajar Sains Tulin Aliran Melayu ini sudah menjadi Pentabir dan Professor Kanan Universiti,Pengarah-pengarah di jabatan Pakar diSektor awam, jurutera,akitek, doktor, dan teknokrat yang berjaya.
Sebenarnya secara peribadi penulis berpendapat belajar sains dan matematik lebih senang dan mudah difahami dalam Bahasa Inggeris dan berpendapat ianya patut diteruskan terutama di peringkat sekolah menengah bagi semua sekolah di seluruh negara.

Tuesday, July 7, 2009

Premium Insurans Bagi Kenderaan Bermotor Yang Melebihi 10 Tahun Sangat Membebankan Pengguna.

Baru baru ini penulis hendak menyambung Insurans kereta penulis yang berumur 11 tahun bagi tujuan memperbaharui Cukai Jalan.Penulis agak terkejut apabila diberitahu olih pihak Wakil Insurans yang penulis tidak bolih lagi menyambung bayaran premium Insurans secara Pihak Ketiga (3rd party) pada masa ini sebagaimana yang diarahkan olih pihak PIAM.Tahun Lepas penulis telah membayar Premium Jenis Pihak Ketiga bagi kereta yang sama tanpa sebarang masalah.
Bagi memperbaharui dan menukar semula bayaran Premium secara Pihak Pertama (1st Party) penulis terpaksa membayar Premium yang agak tinggi dengan bayaran tambahan "Loading" 100% walaupun penulis sudah memiliki NCB 55%. Alasan yang diberikan, punca kenaikkan bayaran premium insurans dan bayaran 'loading'tersebut dikenakan ke atas semua kereta melebihi 10 tahun kerana kereta berkenaan sudah tidak ekonomi lagi dan mudah mengalami kemalangan.
Penulis berpendapat bagi kereta-kereta mewah dan kereta-kereta berjenama, walaupun sudah berumur melebihi 10 tahun keupayaan dan kondisinya masih lagi baik dan harga pasaran pun masih lagi melebihi harga Kereta Nasional yang baru(seperti mana harga pasaran dalam Senarai Rujukan Harga yang ada pada wakil Insurans tersebut). Alasan yang menyatakan secara rawak semua kereta melebihi 10 tahun mudah berlaku kemalangan tidak bolih diterima dan masih bolih disangkal.
Adakah pihak PIAM sudah membuat kajian dan menpunyai perangkaan perbandingan,berapa banyak kereta Mercedes,BMW, Volvo,dan yang sejenis dengannya yang melebihi 10 tahun terlibat dengan kemalangan berbanding dengan kereta biasa?.
Apakah Pihak berkuasa seperti BNM dan Kementerian Kewangan atau Menteri Kewangan sendiri tahu betapa susahnya rakyat biasa pemilik kenderaan bermotor yang melebihi 10 tahun, terutamanya yang berpendapatan sederhana dan rendah untuk menghadapi kenaikan dan bayaran wajib ini?. Wajib kerana tanpa bayaran insurans tidak dibenarkan untuk menperbarui Cukai Jalan kenderaan mereka.
Kalau betul kerajaan dengan "Slogan Rakyat didahulukan" kenapa perkara ini tidak dikaji dahulu sebelum diluluskan?.Penulis percaya selepas ini bertambah ramai pemilik kenderaan bermotor terutama pemilik motorsikal dan kereta lama diluar bandar yang merasai kesannya dan mungkin tidak membayar insurans dan cukai jalan kenderaan mereka.
Jangan salahkan rakyat kalau mereka masih lagi merasakan yang kerajaan MENGUTAMA INSTITUSI INSURANS dan mereka, RAKYAT belum lagi DIDAHULUKAN seperti yang dicogankan olih DS Najib.

Thursday, June 25, 2009

Susahnya kalau kereta anda mengalami kerosakan di Putrajaya dan di Cyberjaya.

Penulis sering menghantar isteri penulis yang berkerja di Jabatan Kerajaan di PuteraJaya dan anak gadis kami yang bekerja di Pejabat swasta di Cyberjaya.Kedua-dua mereka berulang alik dari rumah kami di Putra Nilai ke Pejabat masing-masing samada dihantar olih penulis atau dengan memandu sendiri kereta kerana ketiadaan pengangkutan awam disediakan dari Nilai/Salak Tinggi ke Putrajaya/Cyberjaya

Selama lebih empat tahun kami berulangalik ke Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu sudah dua kali kereta kami mengalami kerosakan kecil.Kali pertama berlaku di Petrol Station Petronas berhampiran Cyberview, di Cyberjaya dimana kereta saya tidak bolih dihidupkan sebaik sahaja kami selesai mengisi petrol di station itu.Sebagai seorang jurutera walaupun bukan dalam bidang Automotif penulis yakin kerosakan ini berpunca dari bateri atau power supply.Memandangkan ketika berlaku kejadian itu baru sahaja jam 830 pagi dan di kawasan Cyberjaya serta Putrajaya tidak ada Bengkel membaiki kereta, kami terpaksa menunggu teksi atau bus untuk ke begkel2 kereta terdekat yang hanya ada di Bangi, serdang,Dengkil atau Salak Tinggi.

Tahukah anda rupanya tiada perkhidmatan bus awam terus di antara Cyberjaya ke Pejabat-pejabat kerajaan di Persint 1 dan Persint 2 di puterajaya. Manakala teksi pula saya terpaksa menunggu lebih dari satu jam baru ada yang melintas.

Berbalik kepada kerosakan kereta kami, penulis terpaksa membayar kos kerja luar ( o/station) yang dkenakan olih formen dari Bangi hampir sama dengan harga bateri yang dibeli.Mengikut formen tersebut beliau terpaksa mengenakan cas tambahan kerja luar kerana di Cyberjaya dan Putrajaya memang tidak ada satupun bengkel membaiki kereta.Kalau ada pun hanya yang jenis di bangsal seperti bengkel dalam filem pendekar atau jenis bawah pokok di Kg Baginda di kawasan Gate 1 Puterajaya.

Pertayaan Penulis kepada Pihak berkuasa atau Perbadanan Putrajaya atau Putrajaya Holding apakah betul di Putrajaya dan Cyberjaya tidak dibenarkan diadakan bengkil membaiki kereta?.Kalau betul kenapa?.Mengapa tidak diadakan tempat khas untuk mereka disudut-sudut tertentu atau benarkan disemua premis Petrol station yang sedia ada di sana bagi membantu pemilik kenderaan yang menghadapi masalah ketika berada dalam kedua-dua bandar ini.

Penulis yakin bukan semua pegawai dan kakitangan kerajaan dan swasta yang tinggal atau bertugas di kedua-dua bandar ini dan juga pemandu kereta persendirian yang berkereta kesana memiliki kenderaan baru atau yang tidak pernah rosak atau tidak perlu dibaiki?. Bukan semua kakitangan kerajaan dan swasta yang bertugas dan tinggal di sana menpunyai pemandu atau pembantu khas atau setiausaha yang bolih menguruskan bagi membaiki kerosakan kereta mereka. Malah bukan semua mereka pandai dan tahu mengenai kerosakan kereta dan mampu membayar kos kerja luar yang tidak sepatutnya yang dikenakan kepada mereka. Penulis diberitahu ada pemilik/pemandu wanita yang keretanya rosak tidak bolih dihidupkan terpaksa menbayar kos yang tinggi kerana memanggil formen datang untuk membaiki kerosakkan tersebut yang hanya berpunca dari kepala beteri yang longgar. Satu Malaysia,pencampaian diutamakan dan rakyat didahulukan?.