Monday, January 19, 2009

Masa bagi BN Bertindak Dan Berubah Bukan Lagi Waktu Untuk Mengkaji..

1) Keputusan Pilihan Raya Kecil Kawasan Parlimen K.Trengganu(telah pun menjadi tajuk besar di seluruh Malaysia), diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihanraya, Encik Wan Mustafa Wan Hassan pada Jam 9.35 malam 17hb Januari 2009. Seperti yang telah dijangkakan oleh kebanyakan orang tempatan K.Trengganu, kemenangan telah diperolehi oleh calun PAS, YB En.Mohd Abdul Wahid dengan majoriti 2,631 undi. Jumlah undi keseluruhan yang diperolehi beliau ialah 32,883 undi manakala calun BN Dt.Wan Ahmad Farid (Mantan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Mantan Senator dan Setiausaha Politik PM) telah memperolehi undi sebanyak 30,252 dan calun bebas En. Azharudin Mamat telah hilang wang pertaruhan beliau dengan hanya mendapat undi sebanyak 193 undi. Undi rosak pula sebanyak 665 undi. Ini bermakna 63,993 pengundi atau 79.8% dari jumlah pengundi berdaftar (80,229 pengundi) telah menjalankan tanggungjawab mereka.

2) Dalam Pilihanraya Umum pada 8hb Mac 2008 yang lalu kerusi ini dimenangi oleh calun BN dengan majoriti undi 628. Dalam PRU tahun lalu calun BN, Allahyarham Dt Razali telah mendapat 32,562 undi manakala calun PAS En Muhamad Sabu, telah mendapat 31,934 undi. Dt Razali merupakan calun popular secara peribadi kerana beliau telah memenangi kerusi MP ini sedangkan BN hanya memenangi 1 kerusi DUN sahaja dari 4 kerusi DUN dalam bahagian ini.

3) Kemenangan PAS kali ini memang jelas mengambarkan zaman pilih parti telah diketepikan oleh pengundi dan faktor calun lebih diutamakan. Keputusan PRK kali ini menunjukkan undi PAS telah bertambah sebanyak 949 undi dan undi BN telah berkurangan sebanyak 2,310 undi. Keputusan PRK di K.Trengganau ini juga, nampaknya BN sekali lagi telah ditolak oleh rakyat selepas kekalahan PRK di Permatang Pauh dan kemorosotan pengaruh pada PRU 8hb Mac tahun lalu. Di K.Trengganu kali ini, Timbalan Perdana Menteri selaku Pengarah Piliharaya BN telah terbukti berkerja kuat dan mendapat sokongan (lahiran!) padu dari semua pemimpin UMNO dan juga dari parti-parti komponen BN lain.Nampaknya ini masih lagi tidak dapat menpengaruhi dan memikat hati pengundi untuk menyokong dan mengundi BN.

4) Mungkin cara berkampen dan gelagat perayu undi terutama yang datang dari luar Terengganu tidak sesuai untuk menarik pengundi dan orang ramai di sini supaya mengundi BN. Media arus perdana juga boleh menjauhkan penyokong mengundi BN.Cara media arus perdana menyampaikan maklumat masih tidak berubah.Samaada media elektronik maupun media cetak masih menyiarkan propoganda dengan resipi lama yang membodohkan rakyat.Sokongan dan pujian sebelah pehak yang tidak bertepi dari media arus perdana juga menjauhkan lagi sokongan pengundi kepada BN. Pengundi sekarang walaupun dari pantai timur dan luar bandar hampir semua sudah boleh membaca,cerdik dan berpeluang mendapat berita/maklumat dari pelbagai sumber untuk diolah dan dipertimbangkan.Mereka ini tidak boleh lagi digula-gulakan dengan projek, janji-janji pembangunan dan memikat secara menunjukkan kebaikan, beramahtamah dan kemesraan pemimpin yang hanya bermusim dan dibuat-buat. Malah perbuatan ini boleh menjadi bahan gurauan dan meluatkan bagi pengundi.

5) Pengundi hari ini, faktor calon adalah lebih menpengaruhi hati mereka. Pengundi hari ini, sudah jauh berbeza dengan pengundi dulu .Mereka mahukan wakil rakyat yang boleh menjadi wakil mereka sepanjang masa bukan sahaja YB yang bermusim.Mereka mahu calon yang ingin berkhidmat bukan calun yang sentiasa perlu hormati. Wakil Rakyat yang boleh didampingi oleh semua bukan sahaja boleh didampingi oleh kelompok-kelompok sendiri dan dimasa-masa tertentu sahaja.

6) Agak sukar bagi calun BN untuk mendapat undi dari pengundi baru dan pengundi atas pagar berbanding dengan calun PAS bagi PRK K.Trengganu ini. Calun PAS adalah lebih popular bagi pengundi disini malah telahpun diuji kerana telah menjadi Wakil Rakyat bagi DUN Wakaf Mempelam sudah lebih 20 tahun. Calun PAS juga tidak kurang dari segi kelulusannya . Beliau menpunyai Ijazah dalam Bidang Perikanan dan Sains Marin dari UPM dan selalu kelihatan melawat kawasan, mendekati rakyat dan boleh duduk, berbual dan minum bersama di Kedai Kopi berbanding calun BN yang lebih kenali dengan sifat yang berbeza walaupun beliau juga menpunyai kelulusan dalam bidang undang-undang.

6) Benar calun BN bagi PRK K.Trengganu ini juga popular dan adalah ketua UMNO Bahagian. Pemimpin atasan UMNO/ BN kena ingat, ada sebahagian kecil Ketua UMNO Bahagian dan juga lain2 Ketua Bahagian komponen Parti BN hari ini hanya popular nama mereka dikalangan penyokong mereka masing-masing sahaja,tidak bagi pengundi berdaftar . Mala tak semua ahli parti mereka sendiri menyokong mereka angkara kesan perebutan jawatan tersebut. Tak semua Ketua Bahagian adalah orang yang berpengaruh dikalangan ahli parti mereka sendiri kerana ada Ketua Bahagian yang dipilih secara tak berapa disenangi ahli. Di Peringkat Cawangan lagi sudah ada masaalah berlaku, pencalonan Ketua Bahagian ada yang terpilih setelah ditunjuk, disenaraikan atau dipaksa oleh Ketua Cawangan tanpa perbahasan dan restu ahli-ahli bawahan.

7) Faktor pengundi berdaftar yang tidak keluar mengundi juga memberi kesan kepada pemilihan PRK K.trengganu itu dan ini juga perlu dikaji kenapa?.Saya yakin bagi pengundi bukan melayu dan pengundi baru dikalangan orang muda, mereka tidak keluar mengundi kerana berada diluar Negeri Terengganu samaada berkerja atau sedang belajar. Sepatutnya dengan kemudahan teknologi yang ada pada masa ini, perayu undi bagi parti-parti yang bertanding boleh mengesan mereka ini untuk dipujuk supaya pulang mengundi.

8) Dengan kemenangan PAS bagi PRK, K.Trengganau ini, kini kedudukan kerusi Dewan Rakyat telah berubah dengan PKR menjadi 83 dan BN tinggal hanya 137 kerusi setelah 2 MP SAPP telah meniggalkan BN.

9) Kita harap semua pucuk pimpinan BN dapat bertindak dengan segera untuk memulihkan sokongan rakyat. Janganlah hanya berjanji untuk menyiasat dan membuat posmonten tanpa tindakkan susulan. Hati pengundi kaum majoriti perlu juga dijaga, jangan biarkan perasaan mereka terguris dek kerana pemimpin mereka begitu berlembut dengan desakan pengundi kaum minoriti yang hanya pandai mencuri peluang. Pengundi hari ini sentiasa memerhati dan sudah pandai menilai sendiri tanpa perlu propoganda melampau yang bodoh dari media arus perdana. Pucuk pimpinan BN terutama UMNO, jangan jadi macam kata pepatah Melayu, Yang Dikejar Tak Dapat, Yang Dikendung Berciciran.

10) Sekarang adalah waktu yang sesuai bagi UMNO untuk berubah dan menyesuaikan diri dengan keadaan semasa kalau mahu mandapat semula sokongan rakyat.Perhimpunan dan pemilihan pucuk pimpinan UMNO yang akan diadakan pada bulan Mac nanti hendaklah dijadikan titiktolak untuk berubah.Kembalikanlah dan carilah pucuk pimpinan baru yang bersemangat,jujur dan ikhlas dengan wadah perjuangan untuk bangsa, ugama dan negara dalam pemilihan itu nanti.Sebenarnya semua perwakilan UMNO kenal dan sudah tahu pemimpin yang mana yang ikhlas dan pemimpin mana yang plastik dan bermuka-muka.
Pilihlah pemimpin UMNO yang dapat menyegarkan kembali UMNO yang sedang layu ini.Pilihlah pemimpin yang dapat manarik kembali rakyat menyokong dan memberi kemenangan kepada UMNO dalam PRU ke13 nanti.

No comments:

Post a Comment